Monday, 1 December 2014

Halangan-Halangan Dalam Memartabatkan Bahasa Melayu



Jika disoroti blog-blog yang menjadi media tumpuan di alam maya, ramai yang menyatakan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa ketujuh paling banyak digunakan di dunia. Dalam Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan keistimewaannya berbanding bahasa lain dilindungi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Banyak fungsi dan peranan bahasa ini dalam menjamin kelangsungan hidup rakyat Malaysia. Selain daripada menjadi bahasa rasmi dan bahasa perantaraan, bahasa Melayu juga menjadi antara faktor penyumbang utama ke arah perpaduan sejagat dan menjadi bahasa ilmu dalam bidang pendidikan. Seperti yang dapat dilihat sekarang, bahasa Melayu merupakan satu-satunya bahasa yang difahami oleh seluruh rakyat Malaysia dan mempunyai kemampunan untuk menyatukan pemikiran seluruh rakyat. Walaupun bahasa ini telahpun menyumbangkan banyak kebaikan kepada negara, namun beberapa halangan timbul dalam usaha untuk terus memartabatkan bahasa kebangsaan ini.


          Antara halangan utama yang dilihat pada hari ini adalah persepsi masyarakat yang melihat bahasa Melayu sebagai bahasa yang tidak maju dan tidak berdaya saing. Mereka sentiasa memandang enteng kepentingan bahasa ini dan lebih cenderung untuk menghormati penggunaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris sebagai penanda aras kehebatan sesebuah negara. Memang tidak dinafikan bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa penting dan banyak kebaikannya terutama dalam hal komunikasi dan perhubungan luar serta pendidikan tinggi. Akan tetapi jika kita melihatnya dalam konteks dalam negara, bahasa Melayu ternyata mempunyai kepentingan yang lebih tinggi memandangkan ia adalah bahasa rasmi negara dan penggunaannya sentiasa diutamakan. Adapun bagi sesetengah institusi kerajaan yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi seperti Universiti Islam Antarabangsa disebabkan kepentingan lain yang boleh menyumbang kepada kemenjadian pelajar dan sumbangan terhadap negara. Mana-mana pihak yang fasih berbahasa asing tetapi tidak arif berbahasa Melayu sepatutnya berasa malu dengan keadaan diri mereka kerana bahasa Melayu merupakan identiti penting bagi seorang warganegara sebagaimana yang sering kita katakan sebagai bahasa jiwa bangsa. Tuntasnya, setiap usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu memandang aspek masyarakat ini kerana segala usaha tersebut tidak akan mencapai kejayaan jika masyarakat masih memandang bahasa Melayu menurut perspektif yang rendah.


          Selain itu, didapati sikap kerajaan turut menjadi penghalang bagi usaha ini. Kerajaan dilihat lebih berminat untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam nama program-programnya dan dalam singkatannya. Sebagai contohnya adalah Program Transformasi Kerajaan yang menggunakan“Government Transformation Programme” (GTP) sebagai sigkatannya dan begitu juga dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC). Bagi pencinta bahasa Melayu, ini bukanlah perkara yang boleh dibanggakan walaupun intipati program-program tersebut adalah baik dan hasilnya adalah cemerlang. Kita perlu sedar bahawa hal ini berkaitan dengan jati diri dan identiti bangsa. Jika dahulu kita sibuk mendokong hasrat menyatukan seluruh penduduk dengan bahasa Melayu, mengapa perlu bahasa ini diketepikan dalam nama-nama program yang baik? Sepatutnya singkatan dalam bahasa Melayu perlu diutamakan. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan sering mengeluarkan kenyataan tentang usaha memartabatkan bahasa Melayu tetapi kenyataan itu tidak disokong oleh langkah-langkah mereka yang telah menggunakan akronim menurut bahasa Inggeris. Meskipun sesetengah pihak menyatakan hal ini sebagai perkara kecil, ia telah menjejaskan kewibawaan kerajaan sebagai pelindung bahasa kebangsaan. Tidak salah dan tidak dikatakan mundur jika kita menggunakan singkatan singkatan PTK bagi Program Transformasi Kerajaan dan PTLB bagi Pusat Transformasi Luar Bandar. Perlu ditegaskan di sini bahawa pelbagai perancangan kerajaan dalam meninggikan bahasa Melayu tidak akan dikagumi rakyat sekiranya langkah kerajaan sendiri tidak menyokong hasrat itu.


          Dalam pada itu, usaha memartabatkan bahasa Melayu dilihat tidak menyeluruh. Hal ini dikatakan demikian apabila melihat kepada tindakan tidak menyertakan usaha mengembalikan tulisan jawi sebagai tulisan rasmi bahasa Melayu turut dianggap sebagai antara halangannya. Asalnya bahasa Melayu sejak zaman keagungannya telah menggunakan tulisan jawi, bukannya rumi. Tulisan rumi hanya digunakan sejak bermulanya era penjajahan asing dan penggunaannya semakin meluas selepas tulisan jawi dimansuhkan dan aplikasinya diperkecilkan dalam hal berkaitan agama sahaja seperti dalam buku teks Pendidikan Islam dan teks khutbah Jumaat. Tulisan jawi telah dieksklusifkan kepada golongan agama yang minoriti sahaja tanpa memberikan pendedahan secara berterusan kepada umum yang menjadi majoriti. Akibatnya amat besar, bahasa Melayu kehilangan tulisan asal yang merupakan identiti pentingnya dan terpaksa mengambil tulisan bangsa lain sebagai ganti serta wujudnya golongan yang buta Al-Quran dan buta jawi. Tanpa melibatkan tulisan jawi, usaha memartabatkan bahasa Melayu boleh dikatakan sebagai usaha yang tidak holistik dan tersekat di tengah jalan. Tidak dinafikan ada beberapa pihak yang cuba mempertahankan tulisan jawi ini dengan melahirkan sisipan mingguan dalam akhbar yang bertulisan jawi serta mengadakan pertandingan menulis khat dan tulisan jawi. Namun, usaha mereka tidak bersifat menyeluruh dan berimpak besar. Usaha besar-besaran secara berterusan oleh pihak kerajaan amat diperlukan. Oleh itu, segala macam pelan memperkasakan bahasa Melayu perlulah disertakan dengan jalan bagi mengembalikan semula tulisan jawi dalam bidang penulisannya, bukan dikecilkan skopnya kepada golongan agama sahaja.

          Konklusinya, meskipun pelbagai usaha telah digembleng oleh kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu seperti rancangan Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) di peringkat Kementerian Pelajaran, halangan serta cabaran masih ada. Hal ini dikatakan demikian selepas melihat usaha-usaha yang tidak menyeluruh dan lebih tertumpu kepada beberapa bidang sahaja tanpa dokongan kuat daripada kerajaan melalui dasar-dasarnya dan sikapnya. Marilah sama-sama kita terus berganding bahu dan menjana idea bagaimana jalannya bagi meletakkan bahasa Melayu sebagai sebuah bahasa yang dihormati dan dipandang tinggi seperti zaman keemasan empayar kesultanan Melayu dahulu. Bahasa ini adalah bahasa kita dan bahasa dunia juga. Oleh itu marilah sama-sama kita menjaganya.

No comments:

Post a Comment