Monday, 1 December 2014


Bahasa Malaysia tidak bernilai di negara sendiri
Ini sebuah kisah yang aku pernah dengar dari seorang rakan suatu ketika dahulu. Dalam sebuah mesyuarat sebuah syarikat di negara Korea, seorang warga asing dari US telah dijemput untuk memberi pembentangan. Sebelum mesyuarat bermula, semua ahli mesyuarat yang berwarga Korea berbual dengan warga US itu dalam bahasa Inggeris. Namun bila bermulanya mesyuarat, ia dijalankan sepenuhnya dalam bahasa ibunda mereka iaitu Korea.


Ketika warga asing itu membuat pembentangannya dalam bahasa Inggeris, akan ada satu penterjemah atau translator yang akan menterjemahkan semula apa yang dituturkan ke dalam bahasa Korea. Dan setiap kali ada pertanyaan dari ahli mesyuarat, ia akan ditanya dalam bahasa Korea, dan penterjemah itu akan translate semula kepada warga asing itu dalam bahasa Inggeris.

Orang2 Korea itu bukannya tidak tahu bertutur dalam bahasa Inggeris, malah mereka faham apa yang dikatakan oleh warga US itu dalam bahasa Inggeris tanpa perlu pun penterjemah untuk translate kepada mereka, namun dalam urusan rasmi semuanya harus menggunakan bahasa ibunda mereka. Kerana apa? Kerana bahasa melambangkan bangsa, identiti, peribadi, maruah dan jatidiri negara mereka dan mereka sangat berbangga dengan bahasa mereka.



Bak peribahasa, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Contohnya bila lembu masuk kandang kambing, sepatutnya lembu yang kena mengembek, takkan kambing2 yang kat dalam kandang tu pulak yang kena mengemoo hanya kerana ada seekor lembu masuk dalam kandang mereka? Tapi samalah bila kambing ni keluar pergi ke kandang lembu pula, mereka kenalah mengemoo takkan masih nak mengembek?



Sebab tu aku pernah baca dulu kat mana ntah, bila lagu Gangnam Style tiba2 jadi hit dan meletup di seluruh dunia termasuk di US, dia taknak buat lagu Gangnam Style versi English dan memilih untuk kekalkan lagu dalam bahasa Korea kerana begitu bangga dengan bahasa, bangsa dan budaya dia sendiri.



Bagaimana pula kita di Malaysia? Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan kebangsaan negara kita. Sekarang bahasa Melayu yang telah dijenamakan semula atau rebrand sebagai bahasa Malaysia sepatutnya menjadi tunjang, maruah dan jatidiri seluruh rakyat Malaysia. Tapi di manakah silapnya, ramai orang bukan Melayu terutama orang2 Cina dan India tidak fasih dalam bahasa Malaysia malah ada yang tak faham dan tak boleh bertutur pun dalam BM. Bagi mereka, asal boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan bahasa ibunda mereka sudah cukup.



Kadang2 bila ada acara2 atau event2, ada pula 4 orang MC atau juruacara majlis yang akan menuturkan dalam bahasa Malaysia, English, Mandarin dan Tamil. Dalam majlis atau mesyuarat2 formal pula tak payah ceritalah, kadang2 ahli dalam mesyuarat tu semua orang Melayu pun, tapi mesyuarat dijalankan dalam bahasa Inggeris. Dan lagi sedih kalau ada je orang Melayu yang tak suka dan tak tahu cakap BM.



Tu belum lagi mesyuarat2 yang pada asalnya dijalankan dalam bahasa Malaysia, tapi bila ada pelawat yang merupakan warga asing, terus semua tukar dalam bahasa Inggeris hanya kerana nak menggembirakan dan mengambil hati warga asing tersebut. Tapi yang lebih sedih, bila ada orang Cina atau India dalam mesyuarat tersebut, bukan orang Cina Tanah Besar atau India dari negara India pun, warganegara Malaysia jugak, terus mesyuarat ditukar bahasa dan dijalankan dalam bahasa Inggeris. Sedihkan?



Apa sebenarnya nilai bahasa Malaysia? Di manakah kesilapannya bahasa Malaysia seakan2 menjadi bahasa kedua di negara kita sendiri? Ini hanya pandangan peribadi aku, terpulang untuk anda setuju atau tidak. Bagi aku, kesilapan terbesar pemimpin2 dulu selain daripada konsep Jus Soli dalam memberi kerakyatan dan kewarganegaraan adalah dengan mewujudkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Orang cakap melentur buluh biar dari rebungnya. Sepatutnya mereka disemai dan diajar dengan bahasa Malaysia sejak mereka kecil lagi. Namun apabila masyarakat telah di"pecah dan perintah" sejak kecil lagi malah dididik secara formal dalam bahasa ibunda masing2, bolehkah kita mengharapkan meraka dapat bersatu padu dan membentuk perpaduan yang kuat apabila dah besar kelak? Dan bolehkah kita harapkan agar mereka mencintai bahasa kebangsaan kita kalau dari kecil lagi sudah tidak disemai dengan bahasa Malaysia?



Bagi aku tak perlu Sekolah Jenis Kebangsaan, semua sekolah rendah patut hanya ada satu sahaja iaitu Sekolah Kebangsaan di mana semua kaum tak kira la Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Murut, Bidayuh, Orang Asal dan lain2 duduk bersekolah bersama2 serta menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar sepenuhnya. Tapi itu bukan bermakna kita menghalang mana2 kaum untuk mempelajari bahasa ibunda mereka, mereka still boleh belajar samada dalam kelas yang formal ataupun di luar kelas secara tidak formal.



Masalahnya sistem pendidikan di negara kita pun caca marba, kejap belajar dalam bahasa Malaysia, kejap bahasa Inggeris (PPMSI), lepas tu bahasa Malaysia balik. Yang jadi mangsa, budak2 sekolah. Di bawah adalah luahan seorang pelajar Cina di facebook Ah Jib Gor yang menjadi mangsa kepada sistem pendidikan di Malaysia. Yang paling menyedihkan, langsung tiada rasa cinta dan bangga kepada bahasa Malaysia malah memandang rendah kepadanya.



Negara dah lebih 55 tahun merdeka dan benda ini sudah pun membarah sejak sekian lama. Nak ubah sekarang pun dah tak boleh sebab yang pasti isu perkauman akan dibangkitkan. Nak buat macam mana, nak tak nak, suka tak suka terpaksalah melaluinya juga, cuma rasa agak malu dan kecewa jika dibandingkan dengan negara2 yang begitu mengangkat dan memartabatkan bahasa mereka sendiri tapi di Malaysia bahasa sendiri seperti melukut di tepi gantang. Mereka tidak perlu mengangkat bahasa lain tapi jenama dan teknologi mereka seperti Samsung, LG, Honda, Panasonic, Hyundai, Sony dan lain2, gah di merata dunia.






Bagaimana nak jadi warganegara Malaysia kalau bahasa Malaysia pun tak tahu dan tak nak guna? Adakah semangat 1Malaysia tu dapat dicapai bila masyarakat di Malaysia masing2 mahu bertutur dalam bahasa sendiri dan komunikasi antara kaum berlainan menggunakan bahasa Inggeris? Di manakah nilai jati diri rakyat Malaysia?


No comments:

Post a Comment