Monday, 1 December 2014

11 Anjakan dalam Pembangunan Pendidikan 2013-2025

Ringkasan Eksekutif

Pada Oktober 2011, Kementerian Pelajaran telah melaksanakan kajian semula sistem pendidikan negara Malaysia secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu. Kerajaan telah mengambil keputusan melaksanakan kajian semula sistem pendidikan berdasarkan standard pendidikan antarabangsa yang kian meningkat, peningkatan aspirasi negara, dan harapan ibu bapa serta masyarakat terhadap dasar pendidikan negara dalam mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi keperluan abad ke-21. Dalam tempoh 11 bulan pelaksanaan kajian, Kementerian telah memperoleh input daripada pelbagai sumber seperti laporan penyelidikan yang dijalankan oleh pakar pendidikan dari UNESCO, Bank Dunia, OECD, dan enam Institusi Pengajian Tinggi Awam.

Kajian ini juga melibatkan penyertaan pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, orang ramai dan murid di seluruh negara. Dokumen awal Pelan Pembangunan Pendidikan telah dibangunkan bagi menilai prestasi semasa sistem pendidikan Malaysia dengan mengambil kira secara objektif pencapaian lampau dan membandingkannya dengan tanda aras antarabangsa. Pelan ini melakarkan visi sistem pendidikan dan murid yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan.

Pelan ini juga mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian bagi mencapai visi yang dihasratkan. Usaha yang telah dirangka dan akan dilaksanakan untuk mentransformasi sistem pendidikan negara diharap dapat difahami dengan jelas oleh masyarakat keseluruhannya. Kementerian akan mendapatkan maklum balas tentang laporan awal pelan ini daripada seluruh komuniti sebelum laporan akhir pelan ini dihasilkan pada Disember 2012.

11 Anjakan dalam Pembangunan Pendidikan 2013-2025


  • Anjakan 1: Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
  • Anjakan 2: Memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
  • Anjakan 3: Melahirkan rakyat malaysia yang menghayati nilai.
  • Anjakan 4: Mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan.
  • Anjakan 5: Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
  • Anjakan 6: Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan.
  • Anjakan 7: Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
  • Anjakan 8: Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian kementerian.
  • Anjakan 9: Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.
  • Anjakan 10: Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.
  • Anjakan 11: Meningkatkan ketelusan untuk akauntabiliti awam secara langsung.

Maklumat lanjut, sila rujuk Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2015, Kementerian Pelajaran Malaysia.

No comments:

Post a Comment